ini cara update orang puasaPerjalanan kali ni ditaja oleh Persatuan Ibu Bapa. Entahla,kena jadi guide takut-takut orang tua sesat di airport. Dalam hati berat sikit,sebab bulan puasa,tambah lagi,pergi Makassar, apelah sangat ada ( student UnHas saba neh,ni komen jujur ni ). Tapi, eloklah pergi untuk eratkan silaturahim dengan father mother in law, setahun 2,3 bulan je ada kat malaysia.
Persediaan ala kadar sahaja,sempat beli chapter Sulawesi dari LonelyPlanet.com. Maka bacalah sedikit.
Makassar, terletak di selatan kepulauan Sulawesi, bahagian timur Indonesia. Sulawesi dikenali sebagai Celebes oleh orang Portugis. Kedudukannya yang strategik sebagai sebuah pelabuhan menyebabkan kapal-kapal dagang mula beralih arah dari timur kepulauan Sulawesi yang dikuasai Belanda ke arah Makassar yang dikuasai Portugis.
Selatan Sulawesi (Sul-Sel) didiami oleh orang Makassar dan juga Bugis. Kerajaan yang agung ketika itu ialah kerajaan Gowa yang dipegang oleh orang Makassar. Pada pertengahan abad ke-16, Gowa menjadi antara pusat perdagangan yang terpenting di timur Indonesia. Sultan Gowa menerima kalimah syahadah Islam pada 1605 dan ini diikuti oleh rakyat jelata dari keturunan Makassar dan Bugis.
Kemunculan Makassar sebagai pusat dagangan yang utama ketika itu mengancam impian The Dutch United East India Company untuk menguasai dagangan rempah di timur Indonesia. Lalu, mereka membentuk kerjasama dengan putera raja Bugis yang hidup dalam buangan ketika itu, Arung Palakka. Segala bantuan diberikan bagi memastikan kerajaan Gowa ditumpaskan. Akhirnya selepas beberapa tahun peperangan berlansung, Ketua kerajaan Gowa Sultan Hassanuddin dipaksa menandatangani Perjanjian Bungaya 1667 yang menyaksikan keruntuhan kuasa kerajaan Gowa dan Alung Palakka menjadi pemerintah Sulawesi Selatan.
Makassar pada tahun-tahun sekitar 1970 hingga 1999 dikenali sebagai Ujung Pandang. Ketika hari terakhir Habibie sebagai presiden Indonesia, beliau menukarkan nama Ujung Pandang sebagai Makassar dan kekal hingga kini.
Airasia menawarkan 4 kali penerbangan seminggu ke Makassar. Perjalanan dari Kuala Lumpur hanyalah mengambil masa lebih kurang 3 jam.
Tema perjalanan kali ini ialah ziarah kakak ipar dan duduk diam-diam sabar bila nak balik. Sejujurnya, Makassar bukanlah tempat untuk lelaki seperti aku, bagi perempuan, mungkinlah boleh berbelanja kain-kain sembahyang, kain sarung, batik walaupun di Bandung lebih murah katanya. bagi aku, mungkin akan mati kering.
ketibaan di Bandara Sultan Hassanuddin disambut dengan penyembur nyahkuman dan segala macam alat membendung H1N1. Troli untuk ambil bagasi kena ambil di luar bandara. Jadi orang kena keluar dari bandara dan cari troli dan masuk balik bandara? aku tak paham macam mana situasi ni. Pak Idrus, pemandu kami yang berketurunan Makassar menunggu di luar. Orangnya agak sedikit naif dan selalu bertanyakan soal gaji di Malaysia.
Malam itu tidur di rumah kakak ipar di BTP ( bacanya Be, Te, Pe dengan e pepet ) Pelik? Mereka juga pelik dengan orang Malaysia baca BTP dengan Bi, Ti, Pi . haha..
aku tak ingat apa B nya tapi TP itu Tamanlarea Permai, satu kawasan perumahan lebih kurang 30 minit dari pusat bandar Makassar.
Antara tempat-tempat kunjungan orang ramai di Makassar ialah Air Terjun BantiMurung. ya, air terjun ialah air terjun. itulah seadanya. untuk masuk, kita akan disambut oleh kera besar yang aku tak tahu jantinanya jantan kah atau betinakah.

Di sini terkenal dengan spesis rama-ramanya yang pelbagai. Pencinta alam sekitar Alfred Wallace mengumpulkan jumlah yang besar spesis rama-rama di sini pada pertengahan 1800. sekitar ini juga ada Gua Batu. Kecil sahaja gua ini. walaupun ada gua yang lebih menarik, Gua Leang-leang tapi aku tak pergi kerana hanya mengikut "itinerary" kakak sahaja. (Sebenarnya dia pun taktau ada Gua Leang-Leang kot)

bulan puasa, orang-orang cina saja keluar mandi manda berkelah.


Gua Batu yang di dalamnya ada batu.
Pantai Losari tak dapat lari dari Makassar. Namanya Pantai tapi aku tak nampak di mana pasirnya. Di manakah? Mungkin sudah di private kan oleh resort-resort di sana,hingga yang tinggal hanyalah air untuk orang-orang susah.

Pengangkutan awam yang popular di sini ialah pete-pete. Bayangkan van tremco di mesir dengan kerusinya bukan sebaris dengan pemandu tetapi di lintangkan ke bahagian tepi van. itulah pete-pete.

Makassar Town Square - Mtos, supermarket budak-budak Malaysia.
Sistem trafik lebih kurang sama saja dengan Mesir cuma lampu isyaratnya adalah sebatang dua. tapi kereta tidak laju bergerak. saliim sahaja.

Fort Rotterdam ni kubu pertahanan kerajaan Gowa yang berjaya dikuasai Belanda. di dalamnya ada muzium sejarah Makassar dulu kala.

makanan popular selain bakso dan coto makassar,ini ialah nasi ayam lalapan.
ayam bakar dan sambal

hari terakhir,singgah sebentar di Fakultas Kedokteran Universitas Hassanuddin.
Di sinilah pelajar-pelajar Malaysia belajar bagaimana nak jadi doktor. Dengarnya di sini dihidupkan juga aktiviti usrah dan program-program keislaman. baguslah..

kamar kecil, aku suka bahasa indonesia.
itulah sahaja di Makassar, tempat-tempat menarik lain yang berhampiran perlu menaiki kenderaan 2,3 jam.
oh, solat witir di sini 3 rakaat satu salam.